• banner1
  • sis
  • 5S WALL

"KEBAJIKAN ANDA KOMITMEN KAMI"

Kami berjanji untuk memberi perkhidmatan berkualiti dengan mesra dan berintegriti berlandaskan teras utama iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian bagi kumpulan sasar seperti berikut.

Kanak - KanakOrang Kurang UpayaKeluargaWarga TuaOrang PapaSukarelawanBencana

Cetak

PENGENALAN 

1.    Penuaan penduduk adalah fenomena abad ke 21. Penuaan penduduk adalah realiti yang tidak dapat dinafikan. Impaknya terhadap negara bergantung kepada sejauh mana negara bersedia untuk menghadapinya. 

2.    Penuaan penduduk berlaku apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15% daripada jumlah penduduk. Penuaan penduduk menyentuh setiap aspek hidup individu, masyarakat dan negara. Situasi kehidupan di peringkat tua bergantung kepada perjalanan dan perancangan hidup di peringkat awal lagi. 

3.    Penuaan penduduk merupakan fenomena yang belum pernah dialami oleh tamadun manusia. Oleh itu beberapa persidangan di peringkat antarabangsa telah memberi fokus kepada isu berkaitan dengan penuaan penduduk dunia. Persidangan tersebut telah menghasilkan  beberapa dokumen yang  digunakan  oleh  Kerajaan untuk merancang dan merencanakan program mengenai isu penuaan penduduk. Dokumen-dokumen tersebut adalah:

(i)    Vienna International Plan of Action, 1982;

(ii)    Principles for Older Persons, 1991;

(iii)    International Conference on Population and Development,  1994; 

(iv)    The Copenhagen Declaration on Social Development, 1995; 

(v)    Agenda for Action on Social Development in the ESCAP Region, revised 1997;

(vi)    Macao Declaration and Plan of Action on Ageing for Asia and the Pacific, 1999;

(vii)    Shanghai Implementation Strategy, 1999;

(viii)    Millennium Development Goals, 2000;

(ix)    Madrid International Plan of Action on Ageing (MIPAA), 2002; 

(x)    WHO Active Ageing Framework, 2002; dan

(xi)    United Nations Guide to the National Implementation of the Madrid International Plan of Action on Ageing, 2008.

4.    Pada peringkat nasional, dokumen dan dasar yang dirujuk dalam penilaian semula Dasar Warga Tua Negara adalah:

(i)    Perlembagaan Persekutuan;

(ii)    Dasar Kebajikan Masyarakat Negara, 1990;

(iii)    Dasar Pembangunan Nasional, 1991;

(iv)    Dasar Sosial Negara, 2003;

(v)    Dasar Kesihatan Warga Emas, 2008; dan

(vi)    Wawasan 2020 serta Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia.  

5.    Malaysia sebagai negara membangun akan merasai penuaan penduduk dalam masa terdekat. Kelajuan Malaysia mencapai status negara tua adalah lebih pesat berbanding negara maju. Ini adalah kerana transisi demografi kedua yang dialami berlaku dalam konteks perkembangan teknologi perubatan yang canggih. Warga emas di Malaysia akan berganda daripada 7% kepada 14% dalam masa 28 tahun sahaja berbanding negara Sweden yang telah mengambil masa selama 112 tahun untuk perubahan yang sama (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 2007). Sehubungan itu, Malaysia tidak mampu berlengah untuk menangani isu-isu berkaitan penuaan penduduk. 

6.    Mengikut unjuran PBB (2009), Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk. Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara tua menjelang Rancangan Malaysia ke-14. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah mengambil langkah persediaan awal untuk menangani isu penuaan penduduk dengan penggubalan Dasar Warga Tua Negara pada tahun 1995.


TAKRIFAN

Warga Emas

7.    Merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun dan ke atas seperti yang diterima pakai dalam United Nations World Assembly on Ageing di Vienna (PBB, 1982) dan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Penuaan Sihat

8.    Penuaan sihat merujuk kepada usaha ke arah gaya hidup sihat dan membentuk sistem kesihatan yang lebih baik serta mewujudkan persekitaran dan komuniti yang mengutamakan kesihatan. 

Penuaan Positif

9.    Penuaan positif merujuk kepada pegangan kepercayaan dan nilai positif yang menjadi tunjang kehidupan dan jati diri warga emas sebagai panduan dalam kehidupan serta sikap dan pandangan positif terhadap penuaan. 

Penuaan Aktif

10.    Penuaan aktif merujuk kepada proses mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam keluarga dan masyarakat ke arah mendayaupayakan warga emas untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Aspek ini merangkumi kuantiti, kualiti dan skop jaringan sosial, peranan timbal balik dan hubungan antara generasi yang wujud sepanjang hayat.
Penuaan Produktif

11.    Penuaan produktif merujuk kepada kapasiti penglibatan warga emas untuk menyumbang dalam bentuk aktiviti kerja bergaji atau sukarela yang dapat memberi makna dan kepuasan. 

Penuaan Menyokong 

12.    Penuaan menyokong merujuk kepada persekitaran dalaman dan luaran yang mesra warga emas bagi membolehkan warga emas berfungsi dengan baik. Persekitaran yang memboleh dan membantu dapat mengurangkan ketidakupayaan yang dialami individu dan akan menggalakkan penglibatan warga emas dalam masyarakat. Aspek ini juga mengambil kira penggunaan teknologi bagi membantu warga emas hidup berdikari.   

Kesejahteraan 

13.    Kesejahteraan dalam konteks dasar ini merangkumi 5 dimensi utama iaitu dimensi kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong). Warga emas akan hidup dengan sejahtera apabila dapat menikmati keseimbangan dalam kelima-lima dimensi ini. 

FALSAFAH DASAR

14.    Dasar Warga Emas Negara mengiktiraf warga emas sebagai warganegara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, mempunyai hak untuk menikmati kehidupan sejahtera, dihormati dan boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara.

NILAI DASAR 

15.    Dasar ini masih mengguna pakai nilai-nilai murni yang disenaraikan dalam Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara (1998) iaitu:

(i)    baik hati;

(ii)    berdikari;

(iii)    berhemah tinggi;

(iv)    hormat;

(v)    kasih sayang;

(vi)    keadilan;

(vii)    kebebasan;

(viii)    keberanian;

(ix)    kebersihan fizikal dan mental;

(x)    kejujuran;

(xi)    kerajinan;

(xii)    kerjasama;

(xiii)    kesederhanaan;

(xiv)    kesyukuran;

(xv)    rasional; dan

(xvi)    semangat bermasyarakat.

PERNYATAAN DASAR 

16.    Dasar Warga Emas Negara merupakan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara. 

PRINSIP DASAR 

17.    Prinsip yang diguna pakai dalam menggubal dasar ini adalah seperti berikut: 

(i)    menggunakan pendekatan perkembangan sepanjang hayat; 

(ii)    mengiktiraf hak untuk mendapat keperluan asas yang berkualiti;

(iii)    mengutamakan kesaksamaan peluang untuk mengakses pelbagai sumber;
(iv)    meningkatkan martabat diri dan berdikari;

(v)    mengeratkan hubungan antara generasi;

(vi)    meningkatkan penyertaan dan penglibatan; dan 

(vii)    mengukuhkan kerjasama dan perkongsian tanggungjawab.

Prinsip ini diadaptasi daripada prinsip PBB ke atas warga emas dan Madrid International Plan of Action on Ageing (MIPAA). 

MATLAMAT DASAR 

18.    Mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang memboleh dan membantu supaya warga emas hidup sejahtera.

OBJEKTIF DASAR 

19.    Objektif dasar adalah untuk: 

(i)     membangunkan masyarakat prihatin terhadap fenomena penuaan dan mendayaupayakan masyarakat bagi menghadapi hari tua;

(ii)    memudahkan akses pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas, keluarga dan masyarakat;

(iii)     menjamin warga emas hidup selamat dan dilindungi; 

(iv)     membentuk sistem penyampaian perkhidmatan warga emas yang berkesan dan bersepadu;

(v)    meningkatkan penglibatan warga emas dalam masyarakat  pelbagai umur; dan 

(vi)     menggalakkan penggunaan hasil penyelidikan sebagai asas dalam perancangan, pemantauan dan penilaian
program warga emas.

STRATEGI 

20.    Sebanyak 6 strategi dibentuk sebagai pendekatan untuk mencapai objektif dasar seperti berikut:

Promosi dan Advokasi

21.    Strategi ini memberi tumpuan kepada usaha berterusan untuk memupuk kesedaran mengenai isu dan cabaran penuaan dalam kalangan semua lapisan masyarakat. Promosi mengenai penuaan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan sensitiviti dan keprihatinan orang ramai supaya melihat penuaan sebagai proses kumulatif yang berlaku sepanjang hayat. 

22.    Warga emas perlu dipromosi sebagai aset negara yang boleh terus menyumbang kepada pembangunan negara. Aktiviti promosi juga merangkumi pembangunan keupayaan (capacity building) melalui latihan dan kemahiran mengenai warga emas dalam kalangan pelaksana dasar serta pembekal perkhidmatan. Pelaksana dasar perlu lebih proaktif manakala pembekal perkhidmatan pula perlu sedar tentang kesan penuaan pada komuniti setempat. Selain itu, advokasi untuk mengenengahkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh warga emas masa kini dan akan datang perlu dilaksanakan melalui gabungan golongan pakar dan kumpulan sokongan.

Pembelajaran Sepanjang Hayat

23.    Strategi ini memberi peluang kepada setiap generasi terutamanya warga emas untuk melengkapkan dan meningkatkan potensi diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran untuk hidup secara aktif dan produktif dalam keluarga dan masyarakat. Strategi ini memfokuskan kepada pelaburan modal insan yang memberi tumpuan kepada persediaan awal dan tindakan pencegahan serta usaha untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan masyarakat bagi meningkatkan kesejahteraan warga emas masa kini dan masa hadapan. 

24.    Semua program yang berkaitan dengan pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat perlu menekankan kepada penerapan nilai murni, keseimbangan ekonomi, kesihatan, sosial, persekitaran fizikal dan kerohanian. Selain itu, ruang dan peluang bagi warga emas untuk menyumbang dalam program pembelajaran dan pengajaran, perkongsian pengalaman dan penyampaian ilmu serta kemahiran perlu diutamakan supaya peranan dan status mereka dapat dikekalkan dalam masyarakat.

Keselamatan dan Perlindungan

25.    Hak mendapatkan keselamatan dan perlindungan warga emas dalam semua aspek diutamakan tanpa mengira latar belakang mereka. Akses warga emas kepada keperluan asas, keselamatan sosial dan perlindungan daripada pengabaian, penganiayaan, serta penderaan perlu dijamin dalam peruntukan undang-undang.

Tadbir Urus dan Perkongsian Tanggungjawab

26.    Strategi ini mengutamakan tadbir urus yang berkesan dalam tadbir urus insan, pelaksanaan program, penyediaan kemudahan dan perkhidmatan untuk merealisasikan dasar di pelbagai peringkat dan agensi. Akauntabiliti dalam pengurusan dan kewangan menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan dan kemudahan untuk meningkatkan faedah secara langsung kepada warga emas.

27.    Strategi berasaskan output dan prestasi ini dilaksanakan melalui pelaksanaan sistem piawai di mana Kerajaan bertindak sebagai agensi pemantau dan bukannya penyedia perkhidmatan. Strategi ini memerlukan jalinan kerjasama yang efektif antara semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam pembentukan program dan aktiviti serta penyediaan kemudahan dan perkhidmatan. Jalinan kerjasama ini melibatkan pihak Kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan Kerajaan.

Penglibatan dan Kesepaduan antara Generasi

28.    Strategi ini memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat inklusif berlandaskan kepada penglibatan secara berterusan dalam sektor ekonomi dan sosial. Strategi ini turut memfokus kepada usaha memupuk dan mengeratkan hubungan saling melengkapi melalui aktiviti/program pengukuhan hubungan dan perpaduan dalam kalangan warga emas dan antara pelbagai generasi. Aspek warisan dan hubungan saling menghormati dan bantu-membantu antara generasi perlu diketengahkan dalam aktiviti/program.

Penyelidikan dan Pembangunan

29.    Strategi ini memberi tumpuan kepada pengumpulan dan penggunaan data berasaskan umur dan jantina dalam semua proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian program yang mesra warga emas. Strategi ini mampu meningkatkan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dan keberkesanan penyampaian dasar di pelbagai peringkat untuk menghasilkan program yang menyeluruh dan berterusan.

MEKANISME PELAKSANAAN DASAR WARGA EMAS NEGARA DAN PELAN TINDAKAN WARGA EMAS NEGARA 

30.    Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara perlu menjadi agenda tetap dalam mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara. Seterusnya satu Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara yang dipengerusikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditubuhkan bagi merangka, melaksana, memantau dan menilai program-program yang digariskan di bawah Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara. Jawatankuasa Teknikal ini akan dibantu oleh sebanyak 7 buah Jawatankuasa Kecil. 

31.    Selain itu, Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas di peringkat negeri dan daerah/Pihak Berkuasa Tempatan akan turut memantapkan usaha pelaksanaan dan pemantauan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara di peringkat akar umbi. Rajah 1 menunjukkan struktur organisasi untuk merealisasikan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara. 

Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara

32.    Keanggotaan dalam Majlis ini terdiri daripada wakil Kementerian berkaitan, pihak swasta, pertubuhan bukan Kerajaan serta pakar dalam bidang berkaitan dengan warga emas. Majlis dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Majlis ini akan menerima laporan daripada Jawatankuasa Teknikal dan juga bertanggungjawab mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan Pelan Tindakan Warga Emas Negara. Urus setia kepada Majlis ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Rajah 1: Struktur Organisasi Pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara

dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara

 

Jawatankuasa Teknikal Dasar Warga Emas Negara

33.    Jawatankuasa Teknikal merupakan nadi kepada pelaksanaan dasar dan pelan tindakan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada wakil pelbagai agensi yang terlibat secara langsung dalam program pembangunan warga emas. Pengerusi jawatankuasa kecil menjadi ahli dalam jawatankuasa ini. Urus setia kepada jawatankuasa teknikal adalah Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jawatankuasa ini perlu menyediakan perancangan tahunan program/aktiviti pembangunan warga emas dengan mengambil kira perancangan peringkat negeri dan mengemukakan kepada Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara untuk mendapatkan peruntukan kewangan. 

Jawatankuasa Kecil 

34.    Jawatankuasa Kecil merupakan jawatankuasa kerja dan melapor kepada Jawatankuasa Teknikal. Sebanyak 7 Jawatankuasa Kecil perlu ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil Kesihatan, Jawatankuasa Kecil Sosial dan Rekreasi, Jawatankuasa Kecil Pendidikan dan Kerohanian, Jawatankuasa Kecil Perumahan dan Persekitaran, Jawatankuasa Kecil Ekonomi, Jawatankuasa Kecil Pekerjaan serta Jawatankuasa Kecil Penyelidikan dan Pembangunan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh agensi seperti berikut:


Jadual 1: Senarai Jawatankuasa Kecil Dasar Warga Emas Negara


Jawatankuasa Kecil
Pengerusi
Kesihatan    Kementerian Kesihatan
Sosial dan Rekreasi    Jabatan Kebajikan Masyarakat
Pendidikan dan Kerohanian    Kementerian Pelajaran
Perumahan dan Persekitaran    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Ekonomi     Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri
Pekerjaan    Kementerian Sumber Manusia
Penyelidikan dan Pembangunan    Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Keahlian Jawatankuasa Kecil terdiri daripada pegawai kementerian atau agensi Kerajaan yang berkaitan, pihak swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan Kerajaan. 

Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri

35.    Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri yang mempunyai hubungan secara tidak langsung dengan Majlis Tindakan Negeri perlu ditubuhkan untuk menghubungkan pentadbiran persekutuan dengan negeri. Pengerusi Jawatankuasa ini adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri sebagai urus setia. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri pula merupakan ahli dalam Majlis Tindakan Negeri.
36.    Ahli dalam Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri terdiri daripada agensi Kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan Kerajaan. Mekanisme yang sama dicadangkan untuk peringkat daerah dan diberi nama sebagai Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah. Setiap Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri perlu menyediakan rancangan tahunan pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas Negara mengikut keutamaan negeri masing-masing yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal. 

Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan

37.    Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah sebagai urus setia. Ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada agensi Kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan Kerajaan, penghulu dan individu yang terlibat secara aktif dalam pembangunan warga emas setempat. Setiausaha jawatankuasa ini adalah Pegawai Pembangunan Masyarakat. 

Cetak

PENGENALAN

 

Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.

 

Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

 

 

 

DEFINISI

 

 

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.

 

 

Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

 

Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

 

 

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

 

 

Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

 

 

Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

 

 

Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

 

 

Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.

 

 

Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

 

 

 

 

PERNYATAAN DASAR

 

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.

 

 

PERNYATAAN MATLAMAT

 

Secara khususnya,Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.

 

OBJEKTIF

Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menetapkan 7 objektif utama seperti berikut:

i.meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;

ii.mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;

iii.menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;

iv.melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;

v.menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;

vi.meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan

vii.meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.

 

 

 

 

STRATEGI

 

Bagi mencapai objektif-objektif di atas, 11 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan. Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:

 

 

Advokasi

1.Menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.

2.Memastikan kanak-kanak dan anggota masyarakat termasuk pengamal undang-undang, penuntut jurusan undang-undang, pendidik, pekerja sosial, doktor, anggota penguat kuasa (seperti pegawai polis dan imigresen), pemandu pengangkutan awam (seperti bas dan teksi) dan pengawal keselamatan diberi kefahaman mengenai hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan fokus kepada aspek perlindungan.

3.Memastikan mereka yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak berupaya mengenal pasti dan seterusnya melaporkan  kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

4.Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.

5.Menggalakkan setiap organisasi mewujudkan dasar dan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak.

 

Pencegahan

6.Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

7.Menyediakan pengetahuan asas kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka melindungi diri daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta mengenal pasti keadaan yang berisiko kepada mereka.

8.Mewujudkan sistem saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan kanak-kanak.

 

Khidmat Sokongan

9.Memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa, keluarga, pesalah dewasa, pesalah kanak-kanak dan komuniti setempat.

10.Meningkat dan memperluaskan perkhidmatan perlindungan dan kesihatan kepada mangsa dan keluarga.

Penyelidikan dan Pembangunan

11.    Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai perlindungan kanak-kanak serta menyebar luas hasil

penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.

Cetak

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Pada tahun 2008, terdapat seramai 10.5 juta (37.9%) orang kanak-kanak daripada 27.7 juta penduduk Malaysia. Dengan itu, pihak Kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak.

Sehubungan ini, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation). Sebagai sebuah Negara Pihak (State Party) kepada CRC, Malaysia amat prihatin dan komited terhadap tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang merupakan generasi pewaris negara masa hadapan.

Kepentingan golongan kanak-kanak jelas dibuktikan dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.


DEFINISI

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.


PERNYATAAN DASAR

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

PERNYATAAN MATLAMAT

Dasar Kanak-Kanak Negara bertujuan untuk melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni.

OBJEKTIF

Objektif utama Dasar Kanak-Kanak Negara ialah untuk memastikan:

1. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial;

2. setiap kanak-kanak termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi; dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat;

3. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian;

4. setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai (turut serta) dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka;

5. kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, komuniti dan masyarakat sedar akan hak kanak-kanak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan; dan

6. penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

STRATEGI

Strategi-strategi bagi mencapai objektif di atas adalah seperti berikut:


Objektif 1 | keterangan lanjut dalam format PDF

Kelangsungan Hidup

1. Menyediakan keperluan asas seperti identiti, tempat tinggal, makanan, minuman, pakaian, kasih sayang, keselamatan dan persekitaran yang kondusif dan mesra kanak-kanak.

2. Meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan, NGO, pihak swasta dan masyarakat setempat dalam penjagaan kesihatan, keselamatan dan pendidikan bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.

3. Meningkatkan kualiti dan memperluaskan perkhidmatan sokongan dan bantuan sosial mengikut keperluan kanak-kanak termasuk kanak-kanak OKU dan anak yatim.

4. Memperluaskan akses kepada maklumat dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak mendapat pengetahuan dan kemahiran demi kelangsungan hidup mereka.

5. Memastikan kanak-kanak mendapat perlindungan keselamatan sosial.



Objektif 2 | keterangan lanjut dalam format PDF

Perlindungan

1. Meningkatkan latihan kepada semua pihak yang berurusan dengan kanak-kanak supaya mempunyai pengetahuan, kelayakan dan kemahiran yang mencukupi serta bersikap positif dalam pengendalian kes penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

2. Memberi perkhidmatan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeksaan, pengabaian, penganiayaan, keganasan, pengeksploitasian atau kanak-kanak tidak terkawal serta penyediaan rawatan pemulihan kepada pesalah kanak-kanak (child offender).

3. Memberi perlindungan ke atas mangsa, pengadu dan keluarga daripada gangguan atau ancaman pihak-pihak tertentu.

4. Memastikan kanak-kanak diberi hak kepada perundangan dan perkhidmatan sokongan.

5. Memberi sokongan kepada keluarga yang berisiko tinggi supaya kanak-kanak dalam keluarga tersebut dapat menikmati hak-hak mereka.

6. Memastikan semua pihak yang mempunyai hubungan atau memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak mewujudkan dasar dan protokol perlindungan kanak-kanak dan melaksanakannya.

7. Menyediakan program khusus bagi kanak-kanak jalanan, kanak-kanak tanpa dokumen, kanak-kanak tercicir, kanak-kanak terlibat dengan penagihan dadah dan kanak-kanak yang berada dalam situasi genting, kepayahan dan lain-lain bahaya (under difficult circumstances).

8. Memastikan kanak-kanak mangsa bencana menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat.

9. Memastikan kanak-kanak mangsa eksploitasi seksual (seperti pelacuran kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak) dan pemerdagangan orang diberi perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian semula ke dalam masyarakat atau dihantar pulang ke negara asal.

10. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.

11. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.



Objektif 3 | keterangan lanjut dalam format PDF

Perkembangan

1. Meningkatkan perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak yang berkualiti, mudah diperolehi dan mampu dibiayai dalam persekitaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan optimum kanak-kanak.

2. Menyediakan kemudahan prasarana dan persekitaran mesra kanak-kanak.

3. Memperluaskan program dan kemudahan khusus bagi perkembangan kanak-kanak kurang upaya dalam semua aspek seperti pengesanan dan intervensi awal, pemulihan, pendidikan dan pengintegrasian semula dalam masyarakat.

4. Menyediakan bantuan, latihan dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan, penjagaan dan pendidikan yang bermutu tinggi.



Objektif 4 | keterangan lanjut dalam format PDF

Penyertaan

1. Memastikan kanak-kanak diberi akses kepada maklumat yang berkualiti dan bahan bersesuaian daripada pelbagai sumber supaya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti yang berkaitan dengan hal ehwal mereka.

2. Menggalakkan media massa dan pihak swasta untuk menyebarkan maklumat yang bersesuaian dan berkualiti.

3. Menggalakkan kanak-kanak menyuarakan pendapat dan pandangan secara bertanggungjawab dan beretika sebagai input dalam merangka program untuk mereka atau program yang berkaitan dengan kepentingan mereka.



Objektif 5 | keterangan lanjut dalam format PDF

Advokasi

1. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat akan pentingnya penjagaan kesihatan kepada kanak-kanak.

2. Meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan masyarakat mengenai hak kesamarataan kanak-kanak daripada sebarang bentuk diskriminasi.

3. Memantapkan program sedia ada dan memperkenalkan program yang sesuai bagi mencegah penganiayaan, pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

4. Meningkatkan kesedaran ibu bapa, penjaga dan ahli masyarakat akan pentingnya pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak.

5. Meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai hak, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak kepada semua pihak yang berkenaan.

Cetak

Pendahuluan
Dasar payung yang merangkumi falsafah dan berbagai dasar pembangunan sosial negara berteraskan Perlembagaan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

 

Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap.

 


Pernyataan Dasar
DSN ialah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.

 


Penyataan Matlamat
Mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat wawasan 2020.

 


Latar Belakang

 

  • 1990an - Perbincangan isu-isu sosial dan keperluan satu dasar sosial negara

 

  • 1996    - Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Membanteras Masalah Sosial (JKMMS)

 

  • 1998    - JPPN membincangkan perlunya ada DSN
    - UPE minta KPNPM menggubal DSN

  • 1999    - KPNPM menganjurkan bengkel DSN
    - Pelantikan Pakarunding PINTAS

  • 2002   - Pakarunding PINTAS menghasilkan deraf DSN
    - Pasukan Petugas Khas di KPNPM
    - DSN, jentera pelaksanaan dan pendekatan dibentangkan kepada JKMMS

 

  • 2003  - DSN diluluskan oleh Jemaah Menteri (19 Februari)
    - DSN dilancarkan secara rasmi (19 Ogos)

 

OBJEKTIF DSN

Objektif Umum
Menjamin setiap individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan


Objektif Khusus

 

  • Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi
  • Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat
  • Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
  • Menjana sinergi multisektor

 


Objektif 1

 

MEMASTIKAN KEPERLUAN ASAS INDIVIDU, KELUARGA DAN MASYARAKAT DIPENUHI

 

Merangkumi:-

 

  • Keperluan asas secukupnya
  • Persekitaran fizikal yang sihat, bersih, selamat dan mesra insan
  • Persekitaran sosial mengutamakan nilai-nilai murni
  • Peluang untuk meningkatkan kualiti hidup
  • Kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta hak sebagai warganegara
  • Keperluan hidup lain yang sesuai dengan perkembangan semasa

 

 

 

Objektif 2
MEMBANGUN DAN MEMPERKASAKAN INSAN SEPANJANG HAYAT

 

Tanpa membezakan gender, keturunan dan keupayaan fizikal untuk mengguna dan mempertingkatkan sumber serta kebolehan kendiri secara optimum pada setiap peringkat kitaran hidup

 


Objektif 3
MEMPERKUKUH DAN MEMBANGUNKAN SISTEM SOKONGAN SOSIAL DAN PERKHIDMATAN SOSIAL

 

Memperkukuh dan menambahkan:

 

  • Sistem sokongan sosial seperti sistem keluarga, etnik, agama, organisasi sosial dan lain-lain di peringkat komuniti
  • Sistem penyampaian perkhidmatan sosial di semua sektor yang terlibat dengan perkhidmatan sosial

 


Objektif 4
MENJANA SINERGI MULTISEKTOR

Kerjasama antara pelbagai bidang dalam dan di antara sektor awam, swasta dan sukarela perlu dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber di dalam masyarakat untuk menjamin perkhidmatan sosial yang terbaik untuk semua anggota masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial adalah tanggungjawab bersama

Artikel Lagi...

  • bpa        hrmis        msc        mygov        ksn        myid        spr        sprm        ykbj        pdk

  • jpw        lppkn        ism        niew